Sunday, November 11, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 11 : Tongsan


Tahun 1997

Betullah kata orang tua-tua, pentingnya restu kedua orang tua keatas diri. Hari-hari berlalu selepas menerima hadiah dari kedua orang tua aku, aku rasa hanyir ditangan ni semakin bertambah. Jarang pulang tangan kosong selepas memancing. Kemahiran membaling dicelah keladi bunting dan mengkuang juga semakin bertambah.

Teringat kembali trofi ikan bersejarah yang aku perolehi di lombong belakang rumah..seperti biasa aku kelokasi memancing dibelakang rumah setiap hujung minggu. Berumpankan cacing sememangnya aku tidak mengharapkan dapat menaikkan ikan berkilo-kilo. Cukuplah sekadar untuk dijadikan lauk dan menghilangkan ketagihan menarik ikan.

Tetapi hasil pada hari itu memang tidak dijangka. Ini bermula dengan tiba-tiba rod sigma 7" melengkung perlahan kedepan, seperti ditarik ikan tetapi tiada getuan, tiada getaran, yang pasti seolah-olah rod ditarik oleh satu objek yang besar. Aku tanpa berlengah terus menyentap joran. Joran yang disentap terus melengkung tanpa junaman. Seperti tersangkut pada tunggul kayu. "la takkan sangkut kut!" ngomel ku.

Sekali lagi rod diangkat lurus keatas, didapati buih mula kelihatan dihujung tali, tali mula ditarik perlahan ke tengah. Teringat kembali semasa beberapa tahun yang lepas kejadian tarikan yang serupa, cuma pada kali ini ikan membuat larian ketengah lombong. Takkan biawak kut.. Makin lama semakin laju ia menarik ketengah, drag berbunyi nyaring, rod padu hanya mampu melengkung dan mengikut rentak makhluk dihujung tali.

Aku yang mula panik cuba menge"pump" joran beberapa kali, nak dikarau reels jangan diharap, takde upaya langsung. Tali dalam gelungan semakin nipis..Nasibla takala sudah kelihatan dasar spool tali, ikan mula membuat "u" Turn. Pada kesempatan itu aku mula mengarau dan menyimpan tali, aku yakin makhluk ni mesti buat larian ketengah semula.

Tetapi kerisauan aku semakin bertambah, reba dan perdu mengkuang menjadi sasaran makhluk dihujung tali. Apalagi aku dengan sepenuh tenaga pump joran kekanan untuk mengekang perjalanannya kesana. Berpeluh dan menggetar aku.. Nasib-nasib, makluk ni mula ketengah semula.

Takata aku hendak mengesat peluh ditapak tangan,Tekaan aku meleset. Baru beberapa meter larian keluar, makhluk tadi terus meluru semula ke reba mengkuang itu. Malangnya larian ini tidak dapat dikekang. Aku hanya mampu bertawakal sahaja. Tak boleh jadi ni, aku mengetatkan sedikit lagi drag dan membuat beberapa Hook up yang agak kasar. Ternyata ia langsung tidak memberi kesan kepada mangsa. Takkala sampai kereba tersebut makhluk tadi terus menarik tali. Habis la mesti sangkut dan putus ni.

Aku hampir kecewa.. seketika sedikit sinaran mula kelihatan. Beberapa saat didalam reba, makhluk tadi mula keluar semua. Mungkin tidak selesa didalam reba agakmya. Ha Ha.. ini la peluang untuk aku pula.

Perlawanan tarik tali telah berlarutan sehingga 20 minit, telah beberapa kali makhluk membuak kepermukaan tapi tidak kelihatan dengan jelas bentuk dan badannya. Yang kelihatan hanyalah buakkan dan buih-buih dipermukaan. Bayangkan kawasan sekitar tadi yang penuh dengan rumpai air dan keladi bunting kelihatan lawas selepas 20 minit perlawanan.

Dirasakan ikan semakin hampir ketepi, aku cukup berhati-hati, masak benar dengan larian makhhluk ni yang membuat larian semula apabila sampai ke tepi. Buakkan dan balikan yang dibuat kali ni menampakkan sisik-sisik halus silver kemerahan, Nah tongsan sisik halus rupanya. Memang jelas kelihatan, mungkin ikan ini semakin penat agaknya. Bukan ikan sahaja yang penat, dengan aku-aku sekali penat bagai nak mengalah sahaja dengan kutratnya yang kuat seperti menarik seekor kambing.

Jam menunjukkan 30 minit berlalu, tetapi gerakan ikan menunjukkan ia seperti tidak mahu mengalah. Nasib la sekarang ni ikan tidak membenamkan diri kedalam reba lagi. Ini sedikit sebanyak memberi peluang untuk aku menghayati perlawanan ni dengan lebih tenang. Takkala ia melarikan mata pancing ketengah aku bertahan sahaja, sebaliknya aku mula mengarau untuk menyimpan semula tali. Perlawanan berulang sepanjang 40 minit.

Bayangkan dengan ketiadaan bantuan dan sauk aku mula memikirkan menaikkan ikan ini ke darat. Masak aku kali ni. Klau macam ni aku kena main sehingga ikan ni betul-betul kepenatan. Nak tak nak aku kena layan permainannya sehingga mana ikan ini mampu. Aku hanya mampu bertahan dan kepenatan.

Takala hampir sejam perlawanan tarik tali berlangsung, ikan telah menunjukkan tanda-tanda kepenatan, aku pun sedah menggigil kehabisan tenaga. Keseorangan menarik dan menumpaskan makluk ni, akhirnya ikan tongsan itu hanya mampu mengapungkan diri dan tercungap-cungap mengambil nafas-nafas terakhir sebelum aku meredah air separas peha untuk menariknya dengan kutrat terakhir aku ketebing tanah.

Lega seleganya selepas aku lihat ikan tongsan hampir sebesar adik bongsu aku berada didarat. Seperti tidak percaya, dengan penggunaan matakail bersaiz 12 dan perambut dan main line bersaiz 20lb, alhamdulillah dapat juga dinaikkan ikan tongsan ni.

Trofi Tongsan rasa-rasa anggaran berat 20kg

Wednesday, October 10, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 10 : Syukur

Sekitar tahun 1994

Syukur


Pak Hassan.. Macam-macam aku pelajari darinya. Dia juga la yang mengajar aku mengenali brand-brand yang ada di pasaran. Cukup gembira aku apabila di pelawa olehnya menaiki C70 menuju ke kedai pancing di Bandar. Kedai pertama yang dibawanya ke Phong Li di depan Jubli Park. Disanalah pertama kali aku lihat kekili yang berjenama dengan barisan rod yang mengunjur dari depan sehingga kebelakang kedai. Seingat aku sekitar awal 90an brand-brand seperti Roybi, Penn, Damm, Ahab menjadi pujaan dan bualan.

Mulalah terpikir untuk up-grade kekili combo yang patah 3 tu dengan set kekili yang lebih baru. Ketika ni alhamdulillah duit tidak menjadi masalah, ayam yang aku pelihara dapat membiak dengan baik. Apabila sampai dirumah aku dah bersiap sedia ke reban ayam untuk memilih bakal ayam kampung untuk dijual. Diberi makan lebihan nasi untuk menambah berat ayam sebelum dijual. Ada je projek, aku jualkan pada apek yang memusing satu kampung mencari ayam kampung. Dengan sekali jualan aku mampu peroleh diantara RM70.00 ke RM90.00 cukup untuk bershopping sakan membeli set pancingan baru.

Pada keesokkannya aku berbasikal seorang diri ke kedai pancing tu. Seperti biasa tokey kedai melayan kehadiran aku ni seperti pengacau. Macam layan tak layan je pertanyaan aku. Tak pe la, janji dapat pa yang aku nak. Main line pertama yang diisikan kedalam mesin pancing aku berjenama Turtle berharga RM8.00 segulung, berwarna keperangan bersaiz 30ld.

Reels dari jenis Roybi yang ada pusingan drag dibelakang harga RM 40.00. Sebenarnya , aku dah bersembang-sembang dan dapatkan maklumat dari Pak Hassan sebelum ni. Cuma Rodnya saja yang berlainan, dicari rod Damm seperti rodnya tidak diketemui pula. Alih-alih rod solid berjenama Sigma panjang 6'6" berkekuatan 20lb ke 40lb berharga RM40.00 disambar. Sekarang aku dah ada set mancing yang baru. Yahoo..

Dengan adanya set pancingan baru ni, lagi ligatlah aku memancing. Masa betul-betul menyemburui aku, rasa cepat sangat masa berjalan. Tiba-tiba PMR, Penilaian Menengah Rendah semakin hampir. Teringat kembali saat-saat mengambil UPSR dahulu. Nak mancing tp PMR dah dekat. Ikan talipia mutiara (Warna kelabu berbintik putih dan berekor merah) sedang mengamuk di belakang rumah. Dengan berat anggaran sekilo setiap seekor sememang godaan yang tidak dapat dielakkan. Dengan pertarungannya yang hebat dan rasanya yang sedap lebih-lebih lagi dibakar dan di cicah air asam..perh, memang kuat sungguh godaan ni.

Menurut Pak Hassan, sangkar ikan yang gah terapung di hujung lombong pecah ketika ribut beberapa hari lepas. Maka ikan-ikan talipia yang belum sempat dipasarkan tu dah menjadi penghuni tetap lombong ni. Tah berapa banyak kerugian tokey sangkar agaknya. Tapi aku gembira , mana tidaknya dapat rasa isi talipia yang putih dan gebu tu.

PMR berlalu..Hari mengambil keputusan pun tiba. Aku dengan perasaan takut dan gementar takala berbaris mengambil keputusan. Takut klau-klau kejadian 3 tahun lepas berulang. "Zurfahiz Bin Hussin!", Guru kelas memanggil aku.."Tahniah atas keputusan" sambil menghulurkan sehelai kertas kepadaku. Alangkahnya gembira apabila aku dapat menebus kesilapan yang lalu pada ayah. Aku yang menerimanya berulang kali mengucap syukur kepadaNya.

Semenjak hari itu, emak dan ayah aku tidak pernah menegur apabila aku keluar memancing. Mereka faham benar dengan minat anaknya. Pada Hari kelahiran ke 16, teringat kembali ayah dan emak menghadiahkan Box Memancing bersama-sama pisau serba guna untuk aku gunakan ketika memancing. Terharu aku menerima hadiah tersebut, aku yang hampir menitiskan air mata terus memeluk erat kedua orang tuaku. Terima kasih emak, ayah kerana hadiah yang diberi. Terima kasih kerana menyokong aku didalam hobi ni.

Terima kasih emak dan ayah. Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan tidak mungkin dapat dibalas.

Sunday, September 9, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 9 : Sifu

Sifu

Semenjak hari itu, pada setiap hari sabtu pasti pakcik tu tiba awal dari aku walaupun rumahku hanya beberapa langkah dari situ. Kami mulai mesra, dan pecahlah tembelang aku apabila menceritakan kisah rod pancing yang patah 3 tu. Dengan tegas ,dia juga sempat menasihatkan agar membawa buku bersama ketika memancing. "Boleh la di ulangkaji ketika sedang menunggu ikan makan", katanya.

Aku yang akur mula membawa bahan bacaan ketika turun memancing. Mulanya, memanglah dibawa sebab disuruh. Perlahan-lahan ketika ikan kurang menjamah umpan, aku buka buku-buku yang dibawa. Dengan suasana yang mendamaikan dan ditemani kicauan burung, aku rasa lebih tenang dan mudah menerima apa yang dibaca. Lama kelamaan ia seperti rutin pada ku, pergi memancing pasti diusung buku kecil dipoket. Dari minggu ke minggu aku dapat memancing dan mengulangkaji pelajaran.

Pakcik tadi..biar aku perkenalkannya, nama dia Pak Hassan, Tp aku panggil dia pakcik je. Umur dalam lungkungan 50an, tinggi dalam 160mm dan kurus orangnya. Penglihatannya agak baik walaupun memerlukan cermin mata ketika menyediakan perambut. Aku banyak belajar memancing darinya, dari jenis ikatan sehingga kaedah-kaedah pancingan ikan di lombong tu. Diantara ikan yang menjadi trofinya adalah ikan jelawat, ikan tongsan Sisik Halus, Ikan Haruan, Ikan Ketutu, Ikan Lampam dan ikan Talipia. Klau aku pulak asyik-asyik talipia dan anak-anak ketutu, kadang kala je naik ikan haruan..itu pun dengan tidak sengaja.

Boleh dikatakan, dia seolah-olah boleh memilih ikan yang hendak ditangkapnya. Kenapa macam tu. Ilmu Hitam? tak le, cuma dia pandai memilih umpan , kaedah memancing dan masa memancing untuk menaikkan ikan-ikan tertentu. He he..walaupun dia tak mengiktiraf aku sebagai anak muridnya tapi aku akui, pakcik ni lah yang banyak membantu aku menambah ilmu pengetahuan didalam hobi memancing ni. Baik dari segi penyedian perambut sehingga ke petua-petua memancing orang lama-lama. Terima kasih sifu..

Ada satu ketika, diwaktu petang selepas hujan, kami menukar teknik memancing dari teknik Bottom ke teknik apungan secara tiba-tiba. Yang menariknya, pelampung disediakan dari daun keladi bunting dan menggunakan perambut sehalus 10lb. Mata dari jenis mata udang (Tanpa Lubang) bersaiz 8 berumpankan roti yang hanya ditekan sikit dimatanya. Jadi roti akan terapung bila dibaling. Aku banyak bertanya apa rasionalnya kaedah mancing seperti ni. Ditunjuknya aku pokok kekabu yang sedang lebat berbuah di tepi tebing disana.

"Ikan-ikan lampam main diatas dan amat gemarkan biji-biji kekabu yang terapung diatas permukaan air" katanya. "Ikan sungai juga amat sensitif dengan denda asing yang berada berhampiran makanannya" sambungnya lagi. "Oo..patut la guna daun keladi bunting sebagai pelambung dan tali halus sebagai perambut" Jawabku. Maka aku mula paham dengan peneranganya. Pada petang itu sahaja, berbelas ekor ikan lampan bersaiz anggaran setengah kilo diperolehi.

Ada satu ketika pula, pagi-pagi lagi kami sibuk mencari ketutu kerana Gong Xi Fa Cai semakin hampir. Bayangkan harganya pada ketika itu RM30/kilo. Bukan susah nak memancing ikan ketutu ni. Selalunya teknik bottom dengan batu mati dibawah, pada kali ni kami menggunakan batu hidup dengan perambut sepanjang 2 jengkal. Mata Udang bersaiz 14 digunakan dan diisi dengan cacing sepenuh-penuhnya. Bulat seperti guli katanya. Dibaling ketengah lombong dan dengan perlahan mengarau kembali. Ye, orang sekarang panggil casting. Tapi ni casting cacing je. Petuanya, klau di kemam ketutu kita akan rasakan sekali henjutan kecil, biarkan seketika sebelum merembatnya. Memang tidak mengecewakan. Kadang-kadang berbelas ekor diperolehi sekali sessi pancingan.

Guna umpan cicak untuk pancingan haruan, ada tempahan dari rakan-rakannya pasti sehari suntuk kami memancing haruan pula. Disitu juga aku mula mengenali pancingan casting. Di baling dan ditarik perlahan-lahan dicelah keladi bunting. Pada mulanya aku agak kekok apabila sering menyentap pancing sejurus haruan membaham umpan. Tapi semuanya gagal hook up dengan tepat. "Apabila disambar, biarkan dahulu beberapa saat sebelum disentap" jelas Pak Hassan.

Wednesday, August 8, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 8 : Sinar

Sinar

Dengan perlahan aku masuk kebilik dan mendapatkan semula set kekili aku yang patah setahun lalu. Diusapkan habuk dan sawang yang terlekat di kekili ku. Mesin ni masih boleh guna lagi. Mungkin Rod ni kena modified sikit. Malam tu juga dikerjakan rod yang patah 3 untuk disambungkan kembali. Dengan dawai dan playar, aku cuba sambungkan rod tadi menjadi satu. Dekat pukul 12 malam barulah selesai menyambungkan kembali rod tersebut. Tetapi manakan nak sama semasa ia gagah menarik talipia dan haruan setahun lepas.

Hari sabtu. seperti biasa pagi-pagi lagi rakan-rakan basikal memekik nama aku diluar rumah untuk bermain bersama, aku hanya memekakkan telinga dan masih diselubung selimut toto yang gebu. Lama juga mereka diluar, aku yang malas biarkan saja mereka memekik nama aku dan setelah beberapa lama aku tidak muncul mereka pun beredar. Aku yang teringatkan kekili , terus bangun dan bersiap..kemana? Memancing. Sedang aku bersiap-siap nak ke luar rumah untuk memancing, ayah yang duduk membaca surat khabar sempat menjeling kearah ku.

Risau juga aku klau-klau ditegurnya dengan tangan aku yang memegang pancing. Lega aku bila ayah terus membaca surat khabar tanpa mempedulikan aku keluar rumah untuk memancing. Capai cangkul dan terus mengebur tanah, dapatlah beberapa ekor cacing untuk dijadikan umpan. Setelah sampai ke lokasi memancing di belakang rumah kelihatan motor C70 telah parking di sana. Dalam hati, yang memancing ni mesti orang dewasa yang membenci kanak-kanak memancing bersama mereka.

Aku turun kebawah dan memberi Salam.."Assalamualaikum Pakcik". "Mualaikumusalam" dijawabnya. Sepanjang memancing disini dulu tidak pernah aku lihat Pak Cik ni. Aku kenalkan diri dan terus menyiapkan pancing. 2,3 kali dia memandang rod aku yang dah patah 3 disambung kembali. Aku yang perasan dari tadi hanya mampu tersenyum macam kerang busuk. Lega rasanya aku dapat melemparkan umpan kedalam air.

Sesekali pancing digetu, aku yang teruja ketika itu terus menyembat. Melihat 2,3 kali macam tu, pakcik tu mula menegur. "Mancing ni kena sabar, ada rezeki naiklah ikan tu". Aku hanya tersenyum. Dah lama tak mancing ni, mungkin hanyir kat tangan ni dah kurang agaknya. Sekali orang tua ni menerima henjutan yang agak kuat, dengan segera disentapnya rod dan dikarau dengan berhati-hati. Lama aku tak tengok aksi macam nie. Selepas beberapa minit ikan talipia sekitar 700g naik ke atas tebing.

Di isinya umpan, kemudian dibalingnya betul-betul di pinggir reba yang terdapat ditepi pokok mengkuang tu. "La dekat je rupanya dia baling". Selepas beberapa minit, naik lagi seekor lebih kurang saiznya dengan yang pertama tadi. "Pelik ni, lepas dia-dia," aku mengomel didalam hati. Tak pe la mungkin rezeki dia hari ni. Lebih kurang 2 jam disitu, karungnya dah hampir penuh. Aku hanya perolehi ikan ketutu bersaiz 2,3 jari dan beberapa ekor anak ikan talipia. Lepas tidak tertahan melihat asyik dia-dia menaikkan ikan, aku pun mula memberanikan diri untuk bertanya.."Pakcik guna umpan pa", "Cacing" dijawapnya.

Tiba-tiba dia menghulurkan mata pancing pada aku."Cuba guna ni". Aku lihat dan perhatikan sebentuk mata kail tapi takde lubangnya. Mungkin di lihatnya mata pancing aku yang hampir reput agaknya."Terima kasih, tp ni mata pancing ke? takde lubang le pakcik". Dia yang hanya tersengih dan menampakkan gusinya, terus diikatnya perambut untuk aku. Baik sungguh pakcik ni, tak seperti pemancing dewasa yang lain yang rimas dengan pemancing kecil seperti aku.

Saturday, July 7, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 7 : Serik

Serik

Malam tu, aku tidak lalu makan.. aku hanya terperap didalam bilik. Dengan seluruh badan yang sedang sakit menerima azab aku hanya mampu menangis tersedu. Menangis bukan kerana kesakitan, tetapi meratapi joran pertama aku yang telah patah 3. Diambil dan disusun joran yang patah dan di simpan dibawah katil. Hanya itu yang termampu aku lakukan.

Setahun berlalu, hobi memancing yang selalu memenuhi masa lapang dulu, kini aku penuhi dengan hobi baru. Habis sekeliling kampung aku pusing, pantang mampak ayam jantan pasti dilagakannya. Aku dengan sahabat kampung ku "Tuah" seperti belangkas ke sana ke mari, menyabung ayam, melaga ikan spilai dan melastik burung adalah hobi baru ku.

Bersama kami mengutip kayu di Setinggan berhampiran untuk menyiapkan reban membela ayam kampung dan ayam sabung. Ada juga peristiwa, dikejar orang kampung kerana kayu papan yang dibuka masih dihuni orang didalamnya. Lucu juga zaman remaja ketika itu.

Hobi memancing seolah-olah dilupa dan di tinggalkan. Gara-gara serik dirotan oleh Ayah, cinta seolah dihalang kerana tiada restu kedua orang tua ku. Aku rasa dengan ketiadaan hobi ni, langkah aku semakin panjang, bercampur dengan geng-geng basikal. Ada yang merokok dan lebih teruk mengisap ***. Pantang bercuti je, pagi-pagi dah keluar bersama basikal kecil aku. Petang baru balik ke rumah, kadang-kadang jenuh mak membebel dengan sifat aku yang selalu tiada dirumah.

Ketika selesai makan malam, aku ke depan menonton TV, terdengar perbualan mak dan ayah, mak lebih suka aku memancing kerana aku selalu berada dirumah ketika bergiat aktif dalam hobi tu. Mana taknya lubuk memancing hanya di belakang rumah je. Ayah hanya mendiamkan diri. Aku yang duk tengok TV didepan hanya perhatikan dari jauh je perbualan mak dan ayah.

Sebenarnya, cinta didalam dunia memancing sangat mendalam. Lihat kembali reaksi ayah semasa emak mengajukan soalan seolah-olah memberi nafas baru didalam dunia pancingan ku. Ayah seolah-olah faham dunia remaja yang sedang aku lalui, klau di halang minatnya mungkin kelain pulak dicarinya. Mungkin baginya lebih baik meminati dunia memancing dari melakukan kerja tak tentu hala dengan geng-geng basikal tu.

Wednesday, June 6, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 6 : Marah

Marah

Rupanya, bukan mudah menggunakan kekili ni buat kali pertama. Balingan demi balingan dibuat, ada yang tersangkut atas pokok, baling tak pergi pun ada..selepas beberapa kali mencuba baru la berjaya membuat lontaran yang baik ke tengah lombong. Walaupun tidak sejauh balingan orang dewasa, aku seronok masa tu, mana tidaknya dapat juga aku beli kekili dengan hasil usaha sendiri. Hari pertama menggunakan kekili, walaupun ikan tak makan seperti biasa, aku tetap gembira dapat melontarkan mata pancing dengan menggunakan kekili baru ni. Pantang disentuh ikan pasti aku menyentak, mengarau dan membaling semula.

Selepas selesai memancing, aku lap, cuci set kelili ni. selepas tu aku gantung di dinding bilik tidur. Walaupun hanya RM 22.00 tapi ia cukup bermakna buat dari aku. Setiap hari sepanjang cuti sekolah ni aku rasakan sungguh gembira, apatah lagi selepas berjaya bertarung dengan ikan-ikan talapia sebesar tapak tangan lelaki dewasa. Baru la tahu nikmat pertarungan sebenar selepas rod melengkung dan ikan dikarau ketepi. Menggigil dibuatnya walaupun yang naik hanyalah talipia sebesar tapak tangan.

"Keputusan UPSR akan di ketahui besok di sekolah-sekolah rendah seluruh negara"..TV3..aku cuma buat endah tak endah apabila mendengar berita tu. Tiba-tiba ayah aku bersuara, "Fahiz pergi ambil keputusan sendiri di sekolah esok sebab ayah ada kerja". Aku sekadar anggukkan kepala tanda faham.

Takkala rakan-rakan lain bergembira, aku takut..takut nak bagi tahu keputusan pada ayah aku. Aku sekadar memperolehi 2#1*1^, Mampus aku kali nie..dalam ingatan cuma mancing. Macam mana aku nak memancing lagi pas ni. Dulu jenuh emak dan ayah aku pesan suruh belajar, aku sibuk memancing. Perjalanan kerumah aku rasakan sungguh jauh. Macam-macam bermain dibenak fikiran ku. Apa yang nak aku beritahu??.

Sesampai dirumah, ayah tak balik kerja lagi, emak bertanya.." Ha..macam mana keputusan UPSR?"..ketika lidah kelu, tersasul dan terus menjawab" Keputusan Cikgu tak bagi tahu lagi Mak, mungkin esok lusa tahu lah"..aku bersuara. Aku takut. Seperti biasa takut hanya seketika. Aku capai set kekili lalu terus ketepi lombong. Selepas beberapa minit, kedengaran bunyi motor ayah aku balik ..harap-harap mak bagi tahu kat abah. Tak payah le aku nak kelentong-kelentong lagi.

Selesai memancing pada petang tu, aku terus pulang membawa beberapa ekor ikan. Aku menyiang dan emak terus menggoreng untuk dibuat makan malam. Semasa makan hati aku berdebar takut-takut ayah bertanyakan keputusan UPSR. Tapi soalan yang ditunggu-tunggu tidak tiba. Lega rasa hati bila ayah tidak bertanyakan soalan tu. Rasanya mesti Emak dah maklumkan pada ayah awal lagi. Malam tu aku tidur-tidur ayam, memikirkan masalah aku ni. Macam mana la nak beritahu ayah yang keputusan UPSR aku ni teruk sesangat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi, seperti biasa selepas mandi dan sarapan pagi, ke mana lagi klau tak ke tepi lombong. Pagi tu tiada orang dewasa yang menyibuk, hanya aku seorang yang memancing. Beberapa kali rod digetu ikan tapi, asyik culas je. Tak pe nasib tak lekat, klau tak jadi hidangan jawapnya.

Semasa duduk leka memerhatikan mengkarung yang memburu belalang, tiba-tiba joran dihenjut kuat. Berumpankan cacing, tak pernah aku menerima henjutan macam nie. Ikan ini dirasakan kutratnya yang terlalu kuat untuk dilawan, selepas beberapa saat ikan terus melarikan diri kedalam mengkuang tanpa dapat dibendung dengan kekili murahan ni. Selepas diasak dengan rakus, tus!!, tali pancingku putus. Pertama kali aku menerima perlawanan yang hebat seperti ni. Habis menggigil 1 badan dibuatnya.

Preeng..kedengaran bunyi motor orang tua aku. Tiba-tiba "Fahiz! mari sini.." aku yang menggigil 1 badan selepas pertarungan hebat dengan makluk tadi terus mengarau dan naik kerumah. Setibanya dirumah, aku lihat ada sehelai kertas ditangannya, macam aku kenal kertas putih dan berlubang-lubang ditepinya..Ha! tu keputusan UPSR ..masa tu hanya tuhan yang tahu perasaan aku. Aku lihat muka merah padam ayah . Kekili ditangan aku lepaskan dan terus meluru keayah untuk meminta maaf. Tapi aku sudah terlambat, penyangkut baju dan tali pinggang menjadi hidangan pada hari tu.

"Kau ni, asyik memancing je, pancing, pancing..ingat pancing ni nak bagi kau makan nanti tua!." Diambilnya kekili kesayangan aku lalu dipatah-patahkannya didepan aku. Aku yang tak derdaya hanya dapat menangis dan lihat kekili aku dipatahkan didepan mata ku sendiri. Ampun Bah, Ampun tak Buat lagi...

Saturday, May 5, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 5 : Projek Mega

Projek Mega

Cuti sekolah nie aku ada 1 MEGA plan. Macam mana pun musti disambar 1 kekili pancing yang ada di kedai jimat tu. Sudah lama aku idamkannya. Set kekili combo yang lengkap bersama-sama tali mono, rod dan reel menjadi idaman setelah sekian lama. Asal ke kedai jimat tu pasti dibelek-beleknya set pancingan tu, tokey kedai pun asyik perli-perli aku, "Bila nak beli tu dik, jangan tunggu lama-lama..nanti dikebas orang". Harganya RM 22.00!! wah cukup mahal bagi budak kampung seperti aku.

Hari pertama cuti sekolah, aku mula termenung dan merancang untuk mencari duit. Em..klau dikait semua buah kelapa tua sekeliling rumah ni belum tentu aku dapat beli set pancingan tu. Sebiji baru RM 0.10, mau 220 biji baru boleh dapat RM 22.00. Tapi takpe, kali ini aku ada idea. Klau kelapa yang telah siap dikupas, harganya boleh naik lg. Harganya boleh naik sampai RM0.20 sebiji.

Seperti biasa, bersama adik aku "Ajap" menjalankan operasi mengumpulkan buah kelapa. Setelah berbincang dengannya kami bersetuju dengan pembahagian untuk aku dan untuknya. Rupanya dia pun ada benda nak dibelinya..kereta mainan. Aku macam biasa la, set pancing menjadi pembakar semangat untuk mencari duit lebih ni.

Aku panjat pokok sementara adik aku tunggu dibawah untuk mengumpul dan mengutip buahnya. Selepas kesemua 8 batang pokok kelapa dipanjat, kelapa-kelapa tua dikumpulkan untuk dikupas. Mula la saat-saat yang memeritkan. Bukan senang nak kupas kelapa rupanya. Dengan parang kontot ayah, aku mula belajar mengupas kelapa. Kali pertama, mau dekat 10 minit baru berjaya mengupasnya.

Lama-kelamaan aku dapat mengupas dengan cepat. 3 hari bekerja pagi petang barula aku berjaya mengupas kesemuanya. Dikumpul dan dikira ada kira-kira 80 biji kelapa. Selepas itu aku berasa perit. Mana tidaknya, habis telapak tangan aku melecur dan calar balar dibuatnya. Maklumlah pengalaman pertama mengupas kelapa. Tapi usaha ni berjaya mengumpulkan RM16.00. Mana nak cekau RM lg nie. "Klau macam tu Ajap, kita g cari botol-botol kosong le." aku memberi idea. Itu pun mau RM0.10 sebiji. Keesokkan harinya pagi-pagi lagi kami dah keluar kerumah dengan berbasikal mengelilingi kampung. Semua tempat sampah diredah.

Alhamdulillah, selepas seminggu berkeja keras dapat juga kami mengumpulkan modal untuk membeli set pancingan yang di idamkan dan ajap dengan kereta mainannya. Aku yang pertama kali mendapat set kekili ni cukup seronok sekali. Malam pertama dibawa set pancingan ni tidur bersama.

Wednesday, April 4, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 4 : UPSR

Sekitar Tahun 1991

UPSR

Ujian Penilaian Sekolah Rendah.. alahai, bulan 9 ni ada UPSR plak. Jadual aku yang ketat telah diatur ayah aku sejak aku darjah 1 lagi. Pagi ke sekolah kebangsaan, pukul 3 kena pergi mengaji, pukul 5.30 pm barula aku berpeluang untuk memancing, ikan kat belakang rumah seakan-akan memanggil aku setiap hari. Balik sekolah mengaji terus aku campakkan baju mengaji dan terus mencapai pancingan tong menuju ke belakang rumah. Klau cuti sekolah, pukul 8 lg aku dah tecegat kat belakang rumah. Ui kemaruk memancing betul. Lombong kat belakang rumah dah jadi rumah kedua aku.

Hari semakin hampir dengan peperiksaan, tapi jadual aku masih tidak berubah. Ayah yang telah beberapa kali memarahi kerana asyik memancing tidak aku endahkan. Cuti sekolah je, sebaik ayah pergi ke kerja aku pun melangkah kelombong untuk memancing. sebelum ayah balik, aku dah sampai dahulu kerumah. klau lewat kena tali pinggang le jawabnya. Mancing tetap mancing.

Tup-tap-tup tap..esok nak UPSR..alamak, aku nak periksa ni. Tapi masa tu, mana ada kesedaran nak belajar. Aku dengan dunia memancing. Aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan, soalan-soalan yang ditanya seolah-olah tidak pernah dipelajari. Tapi apa susah, setiap soalan pasti ada jawapannya. Mana tidaknya, masa tu semua Objektif.

Kringg...Yahoo. paper last hari nie.. aku gembira bukan kepalang.. bukan gembira sebab peperiksaan habis, tapi sebab cuti panjang yang sedang menunggu aku. Apa lagi, mancing, mancing, mancing.. Cuti 3 bulan tu, cukup panjang untuk puas memancing.

Saturday, March 3, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 3 : Kerat

Kerat.

Disebabkan rumah aku berhampiran lokasi yang sesuai untuk memancing, acap kali setiap hari minggu tempat itu dipenuhi dengan pemancing luar. Pada suatu hari, aku yang bangun sedikit lewat hanya dapat memancing dipinggir-pinggir semak manakala 2 orang dewasa telah sampai awal dari aku, bersama 2, 3 set kekili dan dapat melontar umpan jauh ketengah .

Tetapi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat aku untuk memancing. Dicelah-celah daun berduri mengkuang aku lontarkan mata pancing. Keadaan sunyi walaupun ada 3 orang pemancing termasuk aku pada ketika itu. Selang beberapa minit aku dapati tali pancing semakin menegang. Apalagi, tanpa berlengah aku menyentap tali pancing dan terus tarik keatas tanpa belas kasihan. Nah..hasilnya seekor haruan sebesar lengan orang dewasa.

Aku bangga walaupun dengan pancingan tong, dapat juga menaikkan ikan ni. Sempat juga memandang ke arah 2 orang dewasa tadi, tapi pandanganku dibalas jelingan dari mereka. Dalam hati, mungkin tak puas hati dengan tangkapan ini agaknya. Tapi takpe la mereka orang dewasa, aku ni kecik lagi, takut juga disergahnya nanti. Disebabkan rumah aku hanya beberapa meter dari lokasi memancing, ditanggalkan ikan dari mata kail lalu dihantar keatas untuk disimpan.

Selang beberapa minit kemudian aku sampai semula ke lokasi memancing, ketika hendak mengisi umpan ke mata pancing, tiba-tiba aku dapati tali pancingan tong telah dikerat-kerat. Nak menangis aku pada ketika tu. Aku memandang kearah dua orang dewasa tu dengan penuh kecewa. Tetapi mereka buat tak tahu seperti tiada apa yang berlaku. Hanya tuhan yang tahu bertapa payahnya nak menyiapkan set pancingan ni. Angkara siapa lagi klau bukan kerana mereka berdua. Dengan perlahan aku mencapai tali-tali yang putus dikerat-kerat dan terus pulang kerumah.

Tapi peristiwa tu tak dapat memadam minat ku didalam dunia hanyir ni.

Friday, February 2, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 2: Mula Memancing.

Sekitar Tahun 1989

Mula Memancing.

Pada ketika tu usia aku baru mencecah 10 tahun. Masakan nak mengenal shimano, daiwa, roiby, waima kekili pun aku tak kenal. Yang aku tahu hanyalah set pancingan tong. Pada ketika itu set pancingan aku cuma diperbuat daripada tin susu yang telah kosong, masa tu kampung Boy la katakan.

Untuk menyiapkan pancing tong nie, aku mula mencari tin susu kosong dengan menyelongkar di tempat-tempat pembuangan sampah. Nak duit terpaksa la menggagahkan diri memanjat pokok-pokok kelapa yang ada disekeliling rumah. Ajap, adik aku tunggu dibawah sementara aku menggagahkan diri memanjat pokok kelapa yang setinggi cucur atap tu. Wang yang diperolehi dari penjualan kelapa dibahagi dua dengannya, bakinya aku simpan untuk membeli tali mono dan mata pancing. Masa tu mana la tahu tali berapa paun dan brand apa, segulung tali cap ayam cuma RM0.40, mata kail RM0.10 dapat 2 bentuk, klau ada duit lebih boleh la dibeli batu ladung yang berharga RM0.15. Klau tak pemberat disediakan dari skru atau besi yang sedikit berat.

Setelah semua bahan penyiapan pancingan tong disediakan, digulungnya tali mono disekeliling tong dan terus di ikat mata dan pemberat dihujungnya. Cara penggunaanya pun mudah, hanya jarakkan pemberat tadi dalam setengah meter dari tangan dan di hayunkan ke tengah lombong. Hayunan kuat untuk jarak yang jauh dan hayunan ringan untuk jarak yang dekat. Mudahkan. Masa tu mana la tahu nak menggunakan Rapala. klau diberi percuma, sahih aku jadikan rapala tu sebagai pelampung memancing lampam.

Selain pancingan tin tu, ada juga set pancingan yang dibuat dari buluh bersaiz diameter sebesar jari dan panjangnya 2 depa, tali mono sepanjang sedepa, mata kail dan pelampung yang diperbuat daripada gabus polistrine makanan, umpan roti dan kadangkala cacing untuk menjerat ikan sasaran seperti ikan lampam, terbul dan ikan putih.

Mencari umpan pada masa tu bukanlah satu masalah besar. Sekali cangkul 2,3 ekor cacing tergambur keluar. Hujung minggu, apabila set pancingan telah tersedia bersama umpan, ia dibawa bersama rakan-rakan memusing kampung. Lubuk sungai dan lombong diterokai bersama lestik didada. Untung-untung jumpa burung boleh la dilestiknya sekali. Ikan sasaran pula terdiri daripada ikan air tawar seperti talipia, lampam, Ketutu, Haruan, baung yang saiznya hanyalah besar-besar 2,3 jari..cukup bangga ketika menaikkan ikan-ikan tu.Tapi kebanyakkan masa aku habiskan memancing di belakang rumah.



Monday, January 1, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 1: Lombong

Lombong

Ayah dan emak aku kata aku mewarisi bakat datuk yang sukakan ikan pada usia mudanya. Aku merupakan cucu sulung dan kesayanganya. Aku sering dibawa datuk memasang jaring di lombong-lombong sekitar kampung. Masa tu ikan banyak, lebihan ikan dibuat pekasam oleh nenek ku. Tapi tu semua diruang luar ingatan dewasa ku.Masa tu umurku sekitar 6,7,8 tahun sebelum datuk ku meninggal dunia. Cuma imbasannya hadir di kepala otak takala teringatkan arwah datuk.

Di belakang rumah aku terdapat sebuah lombong yang hampir sebesar 2 padang bola. Hanya beberapa langkah sahaja jaraknya. Menurut ayah, semasa baru-baru pindah disini (lebih kurang tahun 1970an) lombong ni dijadikan sumber air untuk mandi dan membasuh olah penduduk sekitar. Keadaannya yang bersih dan airnya yang jernih.

Sebenarnya lombong ni disambungkan dengan 1 alur ke sungai dibahagian hujungnya. Keadaan inilah yang menyebabkan ikan-ikan sungai tersesat masuk ke lombong apabila air bah. Selain itu, di hujung lombong juga terdapat sebuah sangkar ikan, tempat orang menternak ikan. Makanan lebihan yang ditaburkan menjadi sumber makanan ikan-ikan liar ini. Ini seterusnya dapat memeriahkan lagi jenis ikan yang ada disini.

Masa tu ikan seperti lampam, terbul, baung, talipia, ketutu, tongsan sisik halus, jelawat, kaloi malah udang galah, senang diperolehi. Tp tu dahulu, sekarang tidak lagi.. apabila bekalan air telah dapat dinikmati penduduk, sekitar lombong pun mulai terbiar. Tetapi di lombong inilah yang membawa seribu satu pengalaman, ada yang sedih dan ada yang gembira. Ia memberi kesan pada ku untuk mengenali dunia memancing.

Semasa zaman kanak-kanak dan remaja ada beberapa peristiwa yang membawa aku betul-betul mengingati dunia hanyir nie. Jatuh dan bangun seorang pemancing kecil pada ketika itu. Dan bagaimana aku hampir-hampir meninggalkan hobi ini..coretan ni adalah sebahagian dari Perjalanan Seorang Pemancing..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Memancing@Fishing Best Catch

Popular Posts

There was an error in this gadget

Disclaimer

All pictures & Articles in this blog are property of Fahiz Hussin (Fishing@Memancing) . Permission are required for the use of any publishing material within this site. Please Email to memancingfishing@gmail.com for further clarification.