Abg Pie bemesra bersama Alun Condore
Sekiranya kita merujuk kepada kawasan perairan dari Jabatan Metrology, kawasan yang hendak dituju dan dimaksudkan adalah disekitar perairan Condore. Tidak banyak nelayan kesana disebabkan ia terlalu jauh dan sekiranya cuaca tidak baik, alun, angin dan keadaan laut disana sangat sukar diramal. Lokasi pancingan adalah sekitar 230 batu nautika dari Kuala Besut dan 100 batu nautika menghampiri tanah besar Vietnam.
Perairan Condore Merujuk kepada nama-nama perairan sekitar Malaysia
Lokasi dalam lingkungan 200-300batu nautika
Disebabkan tiada perkhidmatan bot pancing ke lokasi yang hendak dituju kami telah bersedia dengan apa saja yang diberikan, tiada ruang kabin yang selesa atau kelengkapan seperti bot memancing yang selalunya menyebabkan pemancing harus cepat menyesuaikan diri agar dapat berehat dan mengharungi trip 9 hari 8 malam ini.
Bot yang kami naiki untuk ke Perairan Condore
Ruang Sisi Birai Bot
Ruang Hadapan Bot Yang luas
Tiada pilihan, bot yang dipilih sememangnya satu satunya bot nelayan yang biasa menduga lubuk sempadan Vietnam. Cuma dilengkapi keperluan asas bot nelayan seperti GPS dan sorna yang hanya untuk mengetahui kedudukan bot dan lubuk. Kemahiran tekong Mat Shah atau dikenali sebagai Pak Chot sememangnya diakui kerana begitu mahir dengan persempadanan negara-negara yang bersebelah seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan kebanyakkan masa memancing kami dilaksanakan di Zon Ekonomi ekskusif (ZEE) untuk laluan kapal kargo seluruh dunia.
Deadliest Catch Versi Malaysia
Sepanjang bergelar pemancing, trip ini merupakan trip terpanjang saya berada di lautan. Secara peribadinya saya boleh klasifikasikan trip ini sebagai “Trip of The Year” dan trip paling mencabar saya sebagai pemancing. Dengan menempuhi jarak pelayaran yang terjauh, gelombang ombak yang terbesar dan jumlah bilangan hari berada didalam kapal paling lama iaitu 9 hari 8 malam dan akhir sekali sudah tentu jumlah bilangan hasil tangkapan terbaik menyebabkan saya tidak akan melupakan trip memancing paling mencabar ini.
Ramalan kaji cuaca sepanjang trip berlangsung
Sekiranya kita lihat siri “Deadliest Catch” di saluran 551 Discovery Channel, dengan kapal yang lengkap dan besar mengharungi lautan di musim monsoon dengan ombak setinggi 7 meter sememangnya mengujakan. Bagi pemancing kecil kecilan seperti kami, dengan bot nelayan seadanya mengharungi lebih 200 batu nautika merasai Alun condore dengan kelajuan angin 40km/j-50km/j dan ombak setinggi 2.5m-3.5m disertakan ribut disatu dua tempat sememangnya memberikan cabaran terhebat kami.
Perancangan
Anglermy merupakan sahabat saya yang menguruskan tempahan kapal, penyediaan bekalan makanan dan menguruskan kami 9 pemancing lain. Sebelum saya menyertai trip ini, beliau telah mengingatkan berkali kali tentang keadaan kapal dan keperluan yang harus disediakan dari seri mental dan fizikal kerana beliau sering kesana saban tahun. Melihat kepada tangkapan tahun tahun sebelumnya, sempadan Vietnam boleh diketegorikan sebagai lubuk dara yang masih belum diterokai sepenuhnya. Ini membuatkan saya bersemangat melihat kepada bilangan ikan tangkapan dan ikan-ikan bergred A yang telah ditangkap pada tahun tahun sebelumnya. Sebelum bertolak, minda saya pun telah disetkan bahawa trip ni mirip-mirip menjalani kehidupan nelayan dan sememangnya menjangkakan tiada keselesaan yang dihajati sepanjang trip ini cuma hasil tangkapan menjadi fokus kami.
Trip bermula
Hari hari yang ditunggu telah tiba, saya bersama sahabat pancingan saya, Shafie Mardi dari Banting, dan Mjohadii memulakan perjalanan dari rumah saya di Kajang ke Kuala Besut pada jam 12.00 tgh malam dan sampai dijeti LKIM Besut pada subuh hari berikutnya. Kemudian kami berjumpa dengan ahli ahli trip yang lain dan bersarapan sebelum bertolak ke sempadan Vietnam. Selain kami trip ini disertai oleh Pesot, Gelamapapan, Anglermy, Ujang, Gemi, LanBB dan Sham Badar. Ada yang datang dari utara dan selatan tanah air. Kami menaiki bot jam 11.00 pagi dan terus menerus menuju ke lubuk pertama sejauh 200 batu nautika dari pantai Besut. Bot dikemudi kearah timur laut menghala ke Vietnam, secara umumnya kedudukan lubuk pancingan kami disekitar Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) lebih mendekati daratan Vietnam sekitar 100 batu nautika menyebabkan kami mengelarkan trip ini trip Sempadan Vietnam.
Gambaran cuaca yang mengiringi awalan perjalanan kami
Dengan kelajuan purata 7-8 knot dijangkakan kami tiba dan memulakan pancingan selepas mengharungi 30jam perjalanan! Maksudnya kami akan sampai kelubuk pertama pada malam keesokkan harinya. Tiada banyak perkara yang boleh dibuat semasa perjalanan, saya hanya menyiapkan set pancingan yang akan digunakan dan lebih banyak berehat sambil bersembang sembang dengan ahli trip yang lain. Selain Anglermy dan Shafie, lain lain rakan trip hanya bertemu dan berkenal kenal pertama kali didalam trip ini. Ternyata pemancing pemancing cepat mesra, bercerita mengenai hobi yang sama ternyata masa dirasakan cepat berlalu.
Cuaca yang mula berubah semasa dipertengahan perjalanan
Sebelum itu kami sepuluh pemancing diundi kedudukan dan ini memudahkan kami menyiapkan keperluan di kedudukan yang telah ditetapkan. Tidak seperti trip-trip game fish sebelum ini, hanya teknik pancingan dasar mengunakan Mesin Kekili Elektrik digunakan saya disepanjang trip ini. Dimaklumkan kedalaman sekitar 60m-80m bermain disekitar lubang-lubang lautan dan dibeberapa kawasan karangan memerlukan respon cepat pemancing menaik dan menurunkan umpan. Bot dibiarkan berhanyut untuk melangkau kawasan lubuk dengan lebih cepat.
Appollo mencari umpan segar dipertengahan perjalanan
Dengan kaedah pancingan seperti ini dengan saiz batu ladung sekitar saiz 18 dan 24 mau mengah dan tak menang tangan sekiranya kekili manual digunakan. Perambut dasar berkekuatan 100lb dengan pengunaan mata pancing bersaiz 7/0 keatas digunakan mensasarkan ikan bergred A seperti Merah, kerapu dan Ibu kerisi. Menurut Anglermy, pada kebiasaannya tekong akan berehat dimalam hari, pada waktu itu bot akan dilabuhkan dikawasan karangan yang besar. Terpulang kepada pemancing untuk memancing atau berehat. Bagi trip yang panjang seperti ini saya selalunya memilih untuk memancing sehingga jam 9-10malam sebelum tidur untuk berehat dan mula memancing keesokkan harinya pula.
Ombak 3.5 meter!
Dari ramalan kaji cuaca di laman sesawang Jabatan Metrology Malaysia sebelum ini sememangnya kami mengagak akan dugaan-dugaan apa yang bakal dihadapi. Di Jeti Besut lagi tidak ada sebuah bot nelayan pun turun ke laut disebabkan keadaan laut yang berangin dan berombak besar tidak sesuai bagi nelayan-nelayan turun kelaut. Disebabkan trip ini telah dirancang awal, kebanyakan ahli trip telah mengambil cuti dan pelbagai persiapan telah diatur, maka trip ini diteruskan. Selepas masuk ke Jam 20 perjalanan kami ke lubuk pertama, trip ini berhadapan dengan tiupan angin Timur laut yang bawa bersama hujan ribut petir bersama alun gelombang tinggi sehingga 3.5meter. Pada ketika itu kami hanya mampu berdoa agar trip ini selamat hendaknya. Disebabkan kapal ini hanyalah kapal nelayan, kabin hanya memuatkan 6 orang pemancing manakala 4 lagi pemancing terpaksa bertahan diluar. Dengan hujan yang sekejap kejap lebat dan berangin saya hanya dapat tidur tidur ayam di ruang belakang bot dan berharap hari cepat menjelang siang.
Ombak 3.5m yang menghampiri bot.
Angaran 30jam perjalanan telah berlalu tetapi bot masih meneruskan perjalanan ke lubuk pertama. Angin dan hujan menyebabkan perjalanan menjadi perlahan dengan angin dan alun yang besar yang terpaksa diharungi. Hari berganti siang tetapi kami masih tidak dapat melabuhkan umpan disebabkan cuaca yang tidak menyebelahi kami.
Perjalanan ke lokasi bagai menaiki Roller coster.
Alun dan ombak tinggi sepanjang perjalanan
Bot menuruni alun dan gelombang
Bot menaiki alun dan gelombang
Pada ketika ini kabin penuh..Full House!!
Tak Tahan teman. Mabuk...mabuk...haha
Ruang birai bot sentiasa basah disimbahi ombak tinggi dari luar. Tekong cuba berhenti dilubuk pertama selepas 36 jam berjalan, tetapi alun yang tinggi menyebabkan kami kurang stabil untuk memancing. Umpan juga tidak dapat diturunkan tepat ke lubang lubang persembunyian menyebabkan aktiviti memancing menjadi lebih sukar.
Anglermy bersama ibu kerisi ketika alun meninggi
Anglermy bersama merah yang dipancing ketika alun tinggi..lihat belakang tu
Ujang bersama ibu kerisi
Saya bersama merah
Anglermy bersama Aji Aji
Sesekali ada pemancing berjaya menaikkan ikan, tetapi keadaan yang tidak selesa ini akan menyebabkan pemancing mudah mabuk dan penat kerana berusaha menstabikan diri diatas bot yang beroleng pada ketika itu. Perkara ini berlarutan sehingga ke hari kedua. Saya juga kadang kadang mengagahkan diri untuk turut memancing kerana tiada aktiviti lain yang boleh dibuat ketika itu. Nak tidur pun tidak nyenyak lagi kerana sudah terlalu banyak berehat untuk hari pertama dan kedua. Masuk Hari ketiga, cuaca semakin baik dan kadang kala angin datang bersama alun tinggi dari timur. Hasil Tangkapan pun semakin baik dan semua ahli trip pun dapat duduk memancing selesa sedikit dari hari sebelumnya.
Pesta Ikan
Hari keempat menunjukkan sinar yang baru kepada kami apabila keadaan laut tenang seperti selalu. Merujuk kepada GPS Kapal, pada hari keempat kami berada sekitar 250batu nautika dari pantai Besut. Dengan cuaca yang semakin baik kami menurunkan umpan kedasar, tak sampai beberapa minit umpan digetu, kekili distrike dan karauan seterusnya dilaksanakan olek kekili elektrik. Begitu juga dengan 9 rakan yang lain, tak menang tangan dibuatnya. Ikan Merah, ikan kerapu dan ibu kerisi..sehingga double strike pun selalu berlaku. Ini lah yang dicari kami dan hanya diketemui selepas empat hari berada dilautan. Tekong akan beredar dan ke lokasi lubuk yang baru apabila ikan kurang menjamah umpan, ternyata disetiap lubuk yang disinggahi pasti ada saja ikan gred A yang didaratkan.
Triple Hook...Terbaik dari Sham Badar
Saya bersama Merah, Pesta ikan...
Anglermy bersama merah coreng.
Saya bersama Ibu kerisi.
Saya dan anglermy bersama merah.
Ikan Barat@Ayam..isi sedap klau distim..
Dari pagi ke tengah hari kemudian sambung ke petang kami tidak menang tangan melayan ikan gred A di Lubuk-lubuk ini ini. Terbukti lubuk-lubuk yang disingahi masih dara dan tidak diterokai. Dari Lubuk ibu kerisi ke lubuk kerapu dan kerapu bara serta lubuk ikan merah. Dengan purata berat 3-4 kg dan kadangkala sehinga 6-7kg, membuatkan pernantian kami berbaloi. Dari pemerhatian saya dari hasil hasil yang diperolehi, pada kedalaman kurang 60m lazimnya didiami oleh spesis kerapu termasuk kerapu bara yang banyak disini. Dan kedalam lebih 60m pula lazimnya didiami oleh spesis merah dan ibu kerisi. Umpan sotong pasar bersaiz 2,3 inci digunakan. Saya pula gemarkan perambut bermata 2, senang dikendalikan dan kadang kala double strike pun sering berlaku.
Saya bersama Sham Badar bersama tangkapan ikan merah
Pesot juga tidak menang tangan menaikkan merah.
Pesot lagi dengan ikan merah.
Mjohadi dari Johor bersama ibu kerisi
Ketika lapar ikan mentah pun bedal..haha
Harap cerah hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari.
Kami hanya merancang Tuhan menentukan segalanya. Apabila hari beransur malam, angin dan alun datang semua, dengan ombak sekitar 2.5m-3.5 meter dan agak merbahaya memancing diwaktu malam. Tidak banyak perkara yang boleh kami buat selain berehat dan tidur dengan harapan keesokan harinya keadaan kembali tenang. Harapan tinggal harapan apabila masuk hari kelima cuaca masih tidak berubah, mahu tidak mahu kami meneruskan pancingan. Selepas masuk hari kelima ini kami seolah olah sudah biasa dengan keadaan laut seperti ini dan semua ahli trip setia duduk di tempat masing masing menjatuhkan umpan kedasar. Walaupun tidak sekerap hari semalam kami mendapat ikan, tetapi bolehlah perlahan lahan kami memenuhkan tong-tong yang dibawa. Dari pagi hingga ke petang Kapal beroleng dan birai bot sentiasa basah disimbah ombak laut dari luar. Keadaan ini nampaknya tidak mahu berkurangan.
Alun menganaz lagi pada hari ke 5
Habis birai bot, dimasuki air dari alun yang tinggi.
Abang Pie sempat bermanja dengan alun yang memasuki bot.
Menjelang hari ke-6 , cuaca juga masih tidak jauh berubah, umpan sotong yang dibawa juga semakin sikit dan dicatu. Kadangkala angin dan alun beransur kurang. Kami meneruskan pancingan seperti biasa. Kali ini selain ikan merah kerapu dan ibu kerisi, kadang kala ada juga sekumpulan ikan ayam atau barat-barat dan cermin melayan kedatangan kami. Disebabkan umpan yang semakin sedikit saya cuba untuk mengunakan hirisan isi ikan cermin untuk dijadikan umpan segar buat hidangan pemangsa dibawah. Bacaan meter menunjukkan lubuk berkedalaman 60m, lazimnya kerapu mendiami kawasan cetek seperti ini. Tanpa perlu menunggu lama umpan digetu dan butang strike ditekan bagi mengarau tali utama. Perlawanan yang ditunjukkan adalah seperti biasa dengan angaran 3-4 kilo pemangsa dihujung tali. Sesekali junaman dibuat dan tali utama keluar beberapa meter sebelum dikarau sendiri oleh kekili elektrik. Selepas beberapa minit kelibat mangsa bersisik merah berbintik biru dan saya seperti tidak percaya bahawa umpan segar yang digunakan berjaya memikat kerapu Sunuh dibawah. Selepas dinaikan saya bergambar dan setelah itu ditimbang dan jarum timbangan menunjukkan berat 4.5kg. Dengan saiz tersebut, ikan yang sedap dimakan ini senang-senang ditolak kepada peraih dengan angaran RM200-300 mengikut harga pasaran.
Teknik perambut 2 mata dengan 2 umpan sotong
Isi ikan cermin juga dibuat umpan
Kaedah perambut bersama manik yang digunakan.
Hasilnya seekor kerapu sunuh!!
Masuk hari ke-7, tekong sudah memberikan isyarat kita akan bertolak kedaratan, sambil sambil itu kita akan singgah di beberapa lubuk berpotensi untuk dicuba. Mendengar isyarat itu saya berasa sungguh lega kerana ia menandakan trip ini ada berakhir beberapa hari lagi. Didalam perjalanan pulang disebabkan umpan juga semakin berkurangan tekong cuba mengaya Tongkol, Appollo panjang bermata saiz 2/0 dan diikat benang di mata pancing dilepaskan dikiri kanan bot. Kaedah ini biasanya begitu menjadi apabila 20-30 mata yang dipasang ini hampir penuh dengan ikan tongkol. Tetapi kali ini cukup berbeza cuma seekor dua saja tongkol yang berjaya dinaikkan. Menurut tekong, perkara ini berlaku kerana kumpulan tongkol akan bermain di jauh kedalam air ketika air kucah selain kucahan air laut juga mengurangkan tarikan ikan terhadap tarian appollo yang dipasang. Jadi tiada umpan segar untuk kami dihari hari terakhir trip ini. Berbaki umpan sotong busuk yang dibawa, kami mencuba beberapa lubuk semasa perjalanan pulang. Sempat juga kami memenuhkan ruang ruang tong ikan yang masih kosong.
Bot pula menghadapi permasalahan ketika mahu pulang kedaratan
Nasib hanya oilfilter yang dimasuki air sahaja..
Syukur.
Selepas mengharungi trip terpanjang saya, menjelang subuh hari ke-9 kami sampai ke jeti LKIM Besut. Lega rasanya melihat daratan selepas 9 hari berada dilautan terbuka dengan ancaman angin, alun dan ribut. Masing masing membuat pangilan ke keluarga terdekat memaklumkan yang kami telah selamat sampai kedaratan. Alhamdulillah. Tiada apa yang diucapkan selain bersyukur kerana kami dapat melaksanakan trip ini dengan selamat. Pada ketika itu sememangnya terdapat sedikit keserikan untuk turun ke Perairan Condore lagi. Tetapi melihatkan hasil pancingan yang dipunggah keluar keserikan mula bertukar kepada ketagihan untuk kesana lagi! Bagi yang berminat kesana boleh la manghubungi Anglermy di 012-4210715.
Awak awak yang hanya kelihatan ketika bot menghampiri daratan. tak perasan kehadirannya kerana sepanjang 8hari trip dia duduk diatas bumbung bot..
Sempat juga bergambar dengan Pak Chot@Mat Shah yang begitu berpengalaman luas mengharungi alun condore.
Sempat juga jual separuh hasil tangkapan kepada peraih di jeti pendaratan ikan disitu
1 comment:
replica wallets i26 i4b24q6u14 replica wallets k09 c8z78j9a29 replica louis vuitton bags b91 d5h94d7b55
Post a Comment