Saturday, May 5, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 5 : Projek Mega

Projek Mega

Cuti sekolah nie aku ada 1 MEGA plan. Macam mana pun musti disambar 1 kekili pancing yang ada di kedai jimat tu. Sudah lama aku idamkannya. Set kekili combo yang lengkap bersama-sama tali mono, rod dan reel menjadi idaman setelah sekian lama. Asal ke kedai jimat tu pasti dibelek-beleknya set pancingan tu, tokey kedai pun asyik perli-perli aku, "Bila nak beli tu dik, jangan tunggu lama-lama..nanti dikebas orang". Harganya RM 22.00!! wah cukup mahal bagi budak kampung seperti aku.

Hari pertama cuti sekolah, aku mula termenung dan merancang untuk mencari duit. Em..klau dikait semua buah kelapa tua sekeliling rumah ni belum tentu aku dapat beli set pancingan tu. Sebiji baru RM 0.10, mau 220 biji baru boleh dapat RM 22.00. Tapi takpe, kali ini aku ada idea. Klau kelapa yang telah siap dikupas, harganya boleh naik lg. Harganya boleh naik sampai RM0.20 sebiji.

Seperti biasa, bersama adik aku "Ajap" menjalankan operasi mengumpulkan buah kelapa. Setelah berbincang dengannya kami bersetuju dengan pembahagian untuk aku dan untuknya. Rupanya dia pun ada benda nak dibelinya..kereta mainan. Aku macam biasa la, set pancing menjadi pembakar semangat untuk mencari duit lebih ni.

Aku panjat pokok sementara adik aku tunggu dibawah untuk mengumpul dan mengutip buahnya. Selepas kesemua 8 batang pokok kelapa dipanjat, kelapa-kelapa tua dikumpulkan untuk dikupas. Mula la saat-saat yang memeritkan. Bukan senang nak kupas kelapa rupanya. Dengan parang kontot ayah, aku mula belajar mengupas kelapa. Kali pertama, mau dekat 10 minit baru berjaya mengupasnya.

Lama-kelamaan aku dapat mengupas dengan cepat. 3 hari bekerja pagi petang barula aku berjaya mengupas kesemuanya. Dikumpul dan dikira ada kira-kira 80 biji kelapa. Selepas itu aku berasa perit. Mana tidaknya, habis telapak tangan aku melecur dan calar balar dibuatnya. Maklumlah pengalaman pertama mengupas kelapa. Tapi usaha ni berjaya mengumpulkan RM16.00. Mana nak cekau RM lg nie. "Klau macam tu Ajap, kita g cari botol-botol kosong le." aku memberi idea. Itu pun mau RM0.10 sebiji. Keesokkan harinya pagi-pagi lagi kami dah keluar kerumah dengan berbasikal mengelilingi kampung. Semua tempat sampah diredah.

Alhamdulillah, selepas seminggu berkeja keras dapat juga kami mengumpulkan modal untuk membeli set pancingan yang di idamkan dan ajap dengan kereta mainannya. Aku yang pertama kali mendapat set kekili ni cukup seronok sekali. Malam pertama dibawa set pancingan ni tidur bersama.

Wednesday, April 4, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 4 : UPSR

Sekitar Tahun 1991

UPSR

Ujian Penilaian Sekolah Rendah.. alahai, bulan 9 ni ada UPSR plak. Jadual aku yang ketat telah diatur ayah aku sejak aku darjah 1 lagi. Pagi ke sekolah kebangsaan, pukul 3 kena pergi mengaji, pukul 5.30 pm barula aku berpeluang untuk memancing, ikan kat belakang rumah seakan-akan memanggil aku setiap hari. Balik sekolah mengaji terus aku campakkan baju mengaji dan terus mencapai pancingan tong menuju ke belakang rumah. Klau cuti sekolah, pukul 8 lg aku dah tecegat kat belakang rumah. Ui kemaruk memancing betul. Lombong kat belakang rumah dah jadi rumah kedua aku.

Hari semakin hampir dengan peperiksaan, tapi jadual aku masih tidak berubah. Ayah yang telah beberapa kali memarahi kerana asyik memancing tidak aku endahkan. Cuti sekolah je, sebaik ayah pergi ke kerja aku pun melangkah kelombong untuk memancing. sebelum ayah balik, aku dah sampai dahulu kerumah. klau lewat kena tali pinggang le jawabnya. Mancing tetap mancing.

Tup-tap-tup tap..esok nak UPSR..alamak, aku nak periksa ni. Tapi masa tu, mana ada kesedaran nak belajar. Aku dengan dunia memancing. Aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan, soalan-soalan yang ditanya seolah-olah tidak pernah dipelajari. Tapi apa susah, setiap soalan pasti ada jawapannya. Mana tidaknya, masa tu semua Objektif.

Kringg...Yahoo. paper last hari nie.. aku gembira bukan kepalang.. bukan gembira sebab peperiksaan habis, tapi sebab cuti panjang yang sedang menunggu aku. Apa lagi, mancing, mancing, mancing.. Cuti 3 bulan tu, cukup panjang untuk puas memancing.

Saturday, March 3, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 3 : Kerat

Kerat.

Disebabkan rumah aku berhampiran lokasi yang sesuai untuk memancing, acap kali setiap hari minggu tempat itu dipenuhi dengan pemancing luar. Pada suatu hari, aku yang bangun sedikit lewat hanya dapat memancing dipinggir-pinggir semak manakala 2 orang dewasa telah sampai awal dari aku, bersama 2, 3 set kekili dan dapat melontar umpan jauh ketengah .

Tetapi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat aku untuk memancing. Dicelah-celah daun berduri mengkuang aku lontarkan mata pancing. Keadaan sunyi walaupun ada 3 orang pemancing termasuk aku pada ketika itu. Selang beberapa minit aku dapati tali pancing semakin menegang. Apalagi, tanpa berlengah aku menyentap tali pancing dan terus tarik keatas tanpa belas kasihan. Nah..hasilnya seekor haruan sebesar lengan orang dewasa.

Aku bangga walaupun dengan pancingan tong, dapat juga menaikkan ikan ni. Sempat juga memandang ke arah 2 orang dewasa tadi, tapi pandanganku dibalas jelingan dari mereka. Dalam hati, mungkin tak puas hati dengan tangkapan ini agaknya. Tapi takpe la mereka orang dewasa, aku ni kecik lagi, takut juga disergahnya nanti. Disebabkan rumah aku hanya beberapa meter dari lokasi memancing, ditanggalkan ikan dari mata kail lalu dihantar keatas untuk disimpan.

Selang beberapa minit kemudian aku sampai semula ke lokasi memancing, ketika hendak mengisi umpan ke mata pancing, tiba-tiba aku dapati tali pancingan tong telah dikerat-kerat. Nak menangis aku pada ketika tu. Aku memandang kearah dua orang dewasa tu dengan penuh kecewa. Tetapi mereka buat tak tahu seperti tiada apa yang berlaku. Hanya tuhan yang tahu bertapa payahnya nak menyiapkan set pancingan ni. Angkara siapa lagi klau bukan kerana mereka berdua. Dengan perlahan aku mencapai tali-tali yang putus dikerat-kerat dan terus pulang kerumah.

Tapi peristiwa tu tak dapat memadam minat ku didalam dunia hanyir ni.

Friday, February 2, 2007

Perjalanan Seorang Pemancing - Bah 2: Mula Memancing.

Sekitar Tahun 1989

Mula Memancing.

Pada ketika tu usia aku baru mencecah 10 tahun. Masakan nak mengenal shimano, daiwa, roiby, waima kekili pun aku tak kenal. Yang aku tahu hanyalah set pancingan tong. Pada ketika itu set pancingan aku cuma diperbuat daripada tin susu yang telah kosong, masa tu kampung Boy la katakan.

Untuk menyiapkan pancing tong nie, aku mula mencari tin susu kosong dengan menyelongkar di tempat-tempat pembuangan sampah. Nak duit terpaksa la menggagahkan diri memanjat pokok-pokok kelapa yang ada disekeliling rumah. Ajap, adik aku tunggu dibawah sementara aku menggagahkan diri memanjat pokok kelapa yang setinggi cucur atap tu. Wang yang diperolehi dari penjualan kelapa dibahagi dua dengannya, bakinya aku simpan untuk membeli tali mono dan mata pancing. Masa tu mana la tahu tali berapa paun dan brand apa, segulung tali cap ayam cuma RM0.40, mata kail RM0.10 dapat 2 bentuk, klau ada duit lebih boleh la dibeli batu ladung yang berharga RM0.15. Klau tak pemberat disediakan dari skru atau besi yang sedikit berat.

Setelah semua bahan penyiapan pancingan tong disediakan, digulungnya tali mono disekeliling tong dan terus di ikat mata dan pemberat dihujungnya. Cara penggunaanya pun mudah, hanya jarakkan pemberat tadi dalam setengah meter dari tangan dan di hayunkan ke tengah lombong. Hayunan kuat untuk jarak yang jauh dan hayunan ringan untuk jarak yang dekat. Mudahkan. Masa tu mana la tahu nak menggunakan Rapala. klau diberi percuma, sahih aku jadikan rapala tu sebagai pelampung memancing lampam.

Selain pancingan tin tu, ada juga set pancingan yang dibuat dari buluh bersaiz diameter sebesar jari dan panjangnya 2 depa, tali mono sepanjang sedepa, mata kail dan pelampung yang diperbuat daripada gabus polistrine makanan, umpan roti dan kadangkala cacing untuk menjerat ikan sasaran seperti ikan lampam, terbul dan ikan putih.

Mencari umpan pada masa tu bukanlah satu masalah besar. Sekali cangkul 2,3 ekor cacing tergambur keluar. Hujung minggu, apabila set pancingan telah tersedia bersama umpan, ia dibawa bersama rakan-rakan memusing kampung. Lubuk sungai dan lombong diterokai bersama lestik didada. Untung-untung jumpa burung boleh la dilestiknya sekali. Ikan sasaran pula terdiri daripada ikan air tawar seperti talipia, lampam, Ketutu, Haruan, baung yang saiznya hanyalah besar-besar 2,3 jari..cukup bangga ketika menaikkan ikan-ikan tu.Tapi kebanyakkan masa aku habiskan memancing di belakang rumah.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Memancing@Fishing Best Catch

Popular Posts

Disclaimer

All pictures & Articles in this blog are property of Fahiz Hussin (Fishing@Memancing) . Permission are required for the use of any publishing material within this site. Please Email to memancingfishing@gmail.com for further clarification.