Salam, Credit dan ucapan setinggi tinggi penghargaan kepada Wartawan Sisipan Joran (Berita Harian), Saudara Zulhilmi Hat diatas bantuan dan peluang yang diberikan. Cerita lama nih, baru kesempatan untuk berkongsi dengan rakan lain.
Akhbar Berita Harian : Sabtu, 23 Januari 2011
Laman Sisipan Joran : Jejaki Naga Bangkok
GODAAN untuk merasai kepuasan memancing ikan bersaiz bapak budak boleh membuatkan kaki pancing tegar seluruh dunia bertukar menjadi pengembara dan tidak lokek berbelanja asalkan hobi itu terlaksana. Faktor itu juga mendorong pengusaha kolam pancing di Thailand kini berlumba-lumba mengisi kolam mereka dengan spesies ikan besar iaitu Arapaima Gigas kerana mengetahui kaki pancing yang suka melayan ikan besar terlalu ramai di pelusuk dunia ini.
Buktinya jelas, kaki pancing tegar dunia akan segera berhimpun ke sesuatu lubuk yang terdapat ikan ganjil yang besar seperti yang dilakukan oleh pengusaha kolam pancing di Thailand ketika ini. Berita yang tersebar itu cepat melekat ke telinga Fahiz Hussin yang terus mengatur trip bersama Team D7L dan Kelab dikenali COFA berkunjung ke negara gajah putih semata-mata untk memancing ikan raksasa tinggalan zaman jurasik itu. Dalam misi ke kolam Bungsamran Fishing Pond (BFP), baru-baru ini, perjalanan 40 minit dari kota Bangkok menuju ke kolam itu, mereka terkejut apabila melihat kaki pancing seluruh dunia turut hadir mencuba tuah menjinakkan spesies tinggalan zaman dinasour itu.